Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa murid yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun bagi sesi 2027 dijangka menamatkan pendidikan menengah atas lebih awal, iaitu pada umur 16 tahun.
Memetik laporan Berita Harian, struktur pendidikan untuk kumpulan murid ini tidak berubah di mana mereka tetap mengikuti enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.
βMurid akan mengikuti peringkat menengah selama lima tahun dan tamat peringkat menengah atas pada umur 16 tahun,β jelasnya.
KPM menekankan bahawa kemasukan awal adalah pilihan sukarela bagi ibu bapa dan bergantung sepenuhnya kepada kesediaan kanak-kanak yang telah mengikuti prasekolah pada usia lima tahun dan lulus saringan diagnostik yang ditetapkan.
KPM telah menyusun Kurikulum Persekolahan 2027 yang disesuaikan dengan tahap kognitif murid bagi memastikan kualiti pembelajaran tidak terjejas. Kurikulum ini turut mengambil kira kanak-kanak yang mungkin belum mengikuti prasekolah, supaya mereka dapat menguasai kemahiran asas dengan berkesan.
Dari segi prasarana, kementerian merancang pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menampung keperluan murid di seluruh negara. Selain itu, KPM turut komited memastikan bekalan pendidik mencukupi melalui Program PISMP, Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP), serta pelantikan secara Kontrak Perkhidmatan (COS).
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa mulai tahun depan, pendidikan prasekolah akan dimulakan pada usia lima tahun, manakala kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun. Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan dasar ini tidak diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada semua pihak, termasuk warga pendidik, untuk bersedia menghadapi persekitaran pendidikan baharu.
π Source: https://thereporter.my/kemasukan-awal-tahun-satu-murid-tamat-menengah-atas-usia-16-tahun/

Leave a Reply