KUALA LUMPUR 21 Jan – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor menegur tindakan dua timbalan menteri yang didakwa berbual sesama sendiri ketika persidangan Dewan Rakyat sesi pagi berlangsung.
Teguran itu ditujukan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu kerana tidak memberi perhatian sewajarnya semasa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedang menjawab soalan.
Ramli menegaskan, kedua-dua timbalan menteri sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada sesi perbahasan yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat.
“Sebentar, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri KPKT ada perkara yang hendak dibincangkan dalam Dewan ini?
“Rasanya dalam Kabinet pun sudah cukup dibincangkan, jadi berilah perhatian ketika menteri sedang menjawab. Ambil maklum,” katanya.
Selepas teguran itu, sesi soal jawab diteruskan dengan Saifuddin menjelaskan langkah kerajaan dalam memperkukuh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), khususnya dari segi penambahan perjawatan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13702

Leave a Reply