Anak penyu hijau berkepala dua ‘rare’ ditemui di Pulau Bakkungan Kecil

SANDAKAN 22 Jan – Penemuan luar biasa melibatkan seekor anak penyu hijau berkepala dua mencuri perhatian apabila kes jarang berlaku itu direkodkan di Pulau Bakkungan Kecil di sini, semasa kerja pemantauan dan penggalian sarang penyu yang dijalankan secara rutin awal bulan ini.

Anak penyu daripada spesies Chelonia mydas (penyu hijau) itu ditemui pada 17 Januari lalu ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawai pemuliharaan marin Taman-Taman Sabah.

Menurut hantaran Facebook Taman-Taman Sabah, anak penyu berkenaan ditemui masih hidup namun berada dalam keadaan lemah dan sebahagiannya masih tertanam di dalam sarang.

Ukuran mendapati panjang badannya adalah lapan sentimeter dari cengkerang hingga ke ekor, manakala saiz cengkerang berukuran 5.3 sentimeter kali 4.0 sentimeter.

“Bicephaly berlaku akibat pembahagian embrio yang tidak sempurna dan dianggap amat jarang. Anak penyu dengan keadaan ini lazimnya tidak mampu hidup lama dalam persekitaran semula jadi.

“Oleh itu, anak penyu berkepala dua ini tidak dilepaskan ke laut sebaliknya ditempatkan di bawah jagaan sementara bagi tujuan pemulihan dan pemerhatian.

“Bagaimanapun, ia mati pada keesokan harinya, 18 Januari 2026,” menurut kenyataan itu.

Spesimen berkenaan kini diawet untuk tujuan penyelidikan dan rujukan pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pemahaman saintifik berkaitan sifat pelik perkembangan yang jarang berlaku dalam kalangan penyu marin.

Sarang berkenaan, yang didaftarkan sebagai No. 3790/25, mengandungi sejumlah 81 biji telur, dengan 50 daripadanya berjaya menetas.

Telur itu dikeluarkan pada 15 November tahun lalu dan proses penetasan berlaku pada 11 Januari 2026, sebelum penggalian sarang dilakukan enam hari kemudian.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13718

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *