KUALA LUMPUR 22 Jan – Kenaikan gaji penjawat awam fasa kedua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilaksanakan hari ini bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen golongan itu dalam memacu pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan skim gaji baharu berkenaan merupakan yang tertinggi dalam tempoh 12 tahun serta terbesar dalam sejarah perkhidmatan awam Malaysia.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk terus berkhidmat dengan integriti, dedikasi dan semangat kebangsaan. Bersama-sama kita memacu Malaysia ke tahap kecemerlangan seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Pelarasan gaji fasa kedua itu merupakan kesinambungan kepada kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024, melibatkan kadar keseluruhan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Bagi fasa kedua, Kumpulan Pengurusan dan Profesional menerima tambahan kenaikan sebanyak tujuh peratus, manakala KPT menikmati pelarasan gaji sebanyak tiga peratus.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13738

Leave a Reply