Wanita cedera motosikal langgar kuda di Jalan Batang Kali–Genting Highlands

HULU SELANGOR 22 Jan – Seorang wanita cedera selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sekumpulan kuda yang berkeliaran di Jalan Batang Kali–Genting Highlands di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.50 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 9 pagi ketika mangsa, seorang wanita berusia 47 tahun yang bekerja sebagai penyelia tukang cuci, sedang dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Genting Highlands.

“Apabila tiba di satu selekoh jalan berkenaan, penunggang motosikal dipercayai melanggar seekor kuda yang berada di atas jalan bersama sekumpulan kuda lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kaki dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, seekor kuda dilaporkan mati di lokasi kejadian dan telah ditanam oleh orang awam.

Kes disiasat di bawah Rule 33(1) LN 166/59 kerana meninggalkan binatang di jalan raya tanpa kawalan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli, di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13740

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *