KUCHING 23 Jan – Kemurungan dikatakan menjadi punca kejadian pembunuhan pasangan suami isteri di Sri Aman pada 14 Januari lalu, menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Menurut laporan Berita Harian, berdasarkan keterangan keluarga, rakan dan rakan sekerja, lelaki yang juga guru besar itu dilaporkan mengalami kemurungan sejak bertugas di sekolah Lubok Antu, Sri Aman.
Beliau menambah, laporan kimia terhadap senjata tajam yang digunakan dalam kejadian tidak menemui sebarang DNA asing.
“Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui pada senjata tajam itu, justeru rumusan yang kita boleh buat ialah pembunuhan itu hanya membabitkan pasangan suami isteri berkenaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak hari ini.
Pasangan suami isteri berusia 45 dan 44 tahun ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman pada jam 6.55 pagi 14 Januari lalu.
Pasukan polis IPD Sri Aman bersama pegawai perubatan Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sepanjang siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis merakam keterangan 30 saksi termasuk ahli keluarga, jiran, rakan serta rakan sekerja mangsa. Pakar patologi yang melakukan bedah siasat turut dirakam keterangannya.
“Apa yang boleh kami simpulkan, kes itu sudah selesai kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan pecah rumah atau barangan hilang jika ia kes samun.
“Polis kini menunggu keputusan pemeriksaan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa, yang mungkin membantu menjelaskan motif sebenar selain kemurungan,” jelas Mohamad Zainal.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13753

Leave a Reply