Peletakan jawatan mungkin sudah terlambat

KEPUTUSAN Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dijangka meletakkan jawatan secara ‘berjemaah’ pada minggu depan langsung tidak memberi kesan terhadap proses rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) nanti.

Pandangan itu disuarakan oleh peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli yang melihat prosiding di CAS nanti hanya berkait rapat dengan dokumentasi pemain warisan Harimau Malaya dan tidak melibatkan tadbir urus FAM.

Kata Nik Erman, sekiranya ia menjadi faktor semasa rayuan CAS, mungkin keputusan meletakkan jawatan itu tidak membantu kerana ia sudah terlambat untuk dilakukan oleh barisan Exco badan induk tersebut

“Sama ada Exco meletakkan jawatan atau sebaliknya, itu tidak menjadi faktor dalam proses CAS. Ini kerana rayuan CAS berkaitan dengan dokumentasi pemain-pemain dan bukan mengenai tadbir urus FAM. Alasan-alasan rayuan juga tiada kaitan dengan Exco FAM.

“Jika sekalipun ia menjadi faktor semasa rayuan, saya percaya ia tidak membantu kerana keputusan Exco FAM boleh disifatkan sebagai lambat tanpa sebarang pengakuan atau permohonan maaf dariapda Exco sehingga hari ini,” katanya kepada Kosmo!

Akhbar Kosmo! semalam melaporkan spekulasi bertiup kencang apabila dikatakan kepimpinan tertinggi FAM akan letak jawatan pada Rabu ini sekali gus mencetus polemik baharu ketika isu pemalsuan dokumen melibatkan pemain warisan masih belum berakhir.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ketika ditemui baru-baru ini mengakui barisan Exco terbuka untuk meletakkan jawatan secara ‘sehati sejiwa’ andai itu pilihan terbaik untuk memastikan badan induk itu tidak digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, Nik Erman turut menjelaskan kongres pemilihan baharu perlu segera dibuat sekiranya peletakan jawatan itu benar-benar dilakukan.

“Jika Exco ‘resign’, adalah tugas dan kuasa sekreteriat FAM untuk melangsungkan kongres (pemilihan) dengan melantik Exco baru menurut Artikel 24 Statut FAM secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, reputasi FAM peringkat antarabangsa tercalar apabila FIFA mengenakan denda dan penggantungan kepada tujuh pemain Harimau Malaya yang didakwa memalsukan dokumen kelahiran dan susur galur untuk mewakili Malaysia.

Namun, FAM terpaksa mencari talian hayat terakhir dengan mengheret FIFA ke CAS dengan proses perbicaraan dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/25/peletakan-jawatan-mungkin-sudah-terlambat/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *