Rakyat Malaysia ulang alik Singapura lebih lapan kali dalam sebulan tak layak terima STR – Chin Tong

KUALA LUMPUR 25 Jan – Kelayakan warganegara Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bergantung kepada pematuhan syarat ditetapkan, termasuk keperluan menetap di dalam negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Beliau menjelaskan, individu yang keluar dan masuk Singapura sebanyak lapan kali atau lebih dalam tempoh sebulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara, dengan andaian pergerakan tersebut berlaku secara mingguan.

“Ia sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus ‘Tidak Lulus’ (di bawah Kod Alasan 31), iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja, atau mengikuti pengajian di luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Hantaran itu dibuat bagi menjelaskan kekeliruan susulan timbul isu kelayakan STR yang didakwa “dibatalkan” terhadap warganegara yang kerap keluar masuk Singapura.

Chin Tong berkata, bagi membezakan urusan sementara dengan keadaan menetap atau bekerja di luar negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menilai kekerapan pergerakan keluar masuk negara menggunakan pendekatan tertentu.

“Pergerakan antara satu hingga tujuh kali sebulan masih dianggap munasabah dan biasanya membabitkan urusan sementara seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.

“Namun, lapan kali dan ke atas sebulan ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara,” katanya.

Beliau menegaskan STR merupakan bantuan tunai bersasar kerajaan di bawah semangat “kita jaga kita” yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia.

Menurutnya, kerajaan bertanggungjawab memastikan agihan bantuan dibuat secara adil kerana ia melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai.

“Bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima STR, semakan dibuat menggunakan data daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk Jabatan Imigresen, bagi mengesahkan maklumat pemohon,” katanya.

Sehubungan itu, Chin Tong menasihatkan warganegara yang terkesan dengan pelaksanaan dasar berkenaan supaya mengemukakan rayuan yang dibuka sepanjang tahun ini.

“Kerajaan MADANI sentiasa prihatin terhadap maklum balas rakyat dan terbuka untuk mempertimbangkan rayuan.

“Sebagai contoh, terdapat warganegara Malaysia yang perlu kerap keluar masuk Singapura kerana bekerja sebagai pemandu syarikat logistik tempatan,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13775

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *