Seorang jururawat, Nur Deena Nadzhiefa dari Hospital Seberang Jaya menerima penghargaan khas daripada Menteri Kesihatan atas keikhlasan dan nilai kemanusiaan tinggi yang ditunjukkan ketika menyantuni seorang pesakit warga emas berbangsa India, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Penghargaan itu disampaikan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sempena majlis perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya, yang disifatkan beliau sebagai detik penuh makna buat seluruh warga kesihatan.
Menurut Dr Dzulkefly, video tular memaparkan Nur Deena menyantuni pesakit berkenaan telah meninggalkan kesan mendalam dan benar-benar ‘menjentik hati’.
“Video tular Jururawat Nur Deena Nadzhiefa menyantuni pesakit warga emas berbangsa India baru-baru ini benar-benar menyentuh perasaan saya. Hari ini, di perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya, saya berpeluang bertemu sendiri dengan tuan empunya badan.
“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya jika dibandingkan dengan nilai ihsan yang ditunjukkan oleh Deena,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap empati dan kasih sayang yang ditunjukkan jururawat berkenaan membuktikan hakikat sebenar dunia perubatan.
“Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan sekadar pil atau suntikan, tetapi layanan yang penuh empati.
“Terima kasih saudari Deena kerana menghidupkan jiwa ‘Malaysia’ dalam tugas seharian. Semoga ia menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya lagi.
Terdahulu, tindakan mulia Nur Deena yang menyuapkan makanan kepada seorang pesakit warga emas berbangsa India telah meraih pujian meluas netizen.
Menerusi rakaman video yang tular, jururawat berkenaan dilihat menyuapkan makanan dengan penuh kelembutan dan kasih sayang, seolah-olah sedang menyuap bapa kandungnya sendiri. Detik itu menyentuh hati ramai, malah disifatkan sebagai lambang kemanusiaan sejati yang melangkaui batas kaum, agama dan latar belakang.
Turut tampil menyatakan penghargaan ialah YB Senator Dr Lingeshwaran Dato’ Seri R. Arunasalam, yang menerusi hantaran di TikTok memuji sikap terpuji jururawat tersebut serta mengucapkan tahniah atas contoh murni yang ditampilkan kepada masyarakat.
🔗 Source: https://thereporter.my/video-suap-pesakit-tular-jururawat-hsj-terima-penghargaan-kkm/

Leave a Reply