Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, mencuri perhatian bukan sahaja menerusi kejayaan menjuarai Masters Indonesia, malah kerana keberanian mereka memartabatkan bahasa Melayu ketika sesi temu bual rasmi di Istora Senayan, Jakarta, pada Ahad.
Pasangan ranking keempat dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan gandingan Denmark, Mathias Christiansen–Alexandra Boje, 15-21, 21-17, 21-11 dalam aksi final yang berlangsung selama 57 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Tang Jie–Ee Wei merangkul gelaran juara keenam karier mereka, selain mencipta sejarah sebagai beregu campuran pertama negara menjuarai Masters Indonesia pada penampilan final ke-10 Jelajah Dunia BWF.
Namun, tumpuan peminat turut terarah kepada tindakan Tang Jie–Ee Wei yang memilih untuk menjawab soalan pengacara yang disampaikan dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa Melayu. Ucapan ringkas itu disambut sorakan gemuruh penyokong di dalam stadium.
“Terima kasih semua penyokong dari Istora. Penyokong dari Malaysia dan Indonesia sangat luar biasa,” katanya sambil mengakui tekanan suasana perlawanan di gelanggang ikonik tersebut.
Bagus Chentoh, martabatkan bahasa melayu. Sudah tiba masanya guna bahasa melayu bila di wawancara. pic.twitter.com/e9Y8hpO2Kq
Tindakan berkenaan mendapat pujian meluas netizen di media sosial yang menyifatkannya sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa, selari dengan kejayaan membanggakan yang diraih oleh beregu negara itu.
Kejayaan di Jakarta juga menyaksikan Tang Jie–Ee Wei memperbaiki rekod pertemuan mereka ke atas pasangan Denmark tersebut kepada 3-1, sekali gus melunaskan dendam kekalahan pada Terbuka Macau, September lalu.
Sumber: Berita Harian, eldoradoh
🔗 Source: https://thereporter.my/tang-jie-ee-wei-dipuji-jawab-wawancara-dalam-bahasa-melayu/

Leave a Reply