Thailand telah meningkatkan langkah pemantauan kesihatan awam dan saringan penumpang udara susulan wabak virus Nipah di West Bengal, India. Difahamkan, India mencatatkan lima kes virus Nipah setakat ini.
Menurut Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, langkah ini menggunakan pendekatan yang serupa dengan yang diterapkan semasa tempoh Covid-19.
Sehingga kini, Thailand belum merekodkan kes pertama, namun pihak berkuasa tetap berhati-hati dan menasihati orang ramai untuk terus memantau kebersihan diri serta mengamalkan amalan keselamatan seperti mengurangkan kontak fizikal rapat dan menggunakan salam tanpa sentuhan.
Menurut laporan Jabatan Kawalan Penyakit, saringan kesihatan telah dijalankan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang bagi penumpang yang tiba dari West Bengal.
Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket turut meningkatkan kesiapsiagaan dan langkah saringan penyakit dengan menubuhkan saringan khas bagi penumpang dari kawasan terjejas. Lapangan terbang juga mempertingkatkan pembersihan dan nyahkuman terminal, terutamanya pada kawasan yang kerap disentuh bagi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan.
Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengeluarkan ‘Kad Amaran Kesihatan’ bagi penumpang dari kawasan berisiko. Mereka yang mengalami simptom seperti demam, sakit kepala, batuk atau sesak nafas, terutamanya jika pernah bersentuhan dengan kelawar, haiwan sakit atau individu lain yang dijangkiti dalam 21 hari sebelum tiba, disarankan mendapatkan rawatan segera.
Perdana Menteri Thailand menegaskan bahawa rakyat perlu berwaspada tinggi kerana tiada rawatan khusus atau vaksin untuk virus Nipah. Ujarnya, penyakit berkenaan boleh merebak daripada haiwan ke manusia, melalui makanan tercemar atau secara langsung antara manusia.
Susulan itu, langkah saringan akan terus dijalankan bagi penumpang dari India, dengan langkah lebih ketat bagi mereka dari negara berisiko tinggi. WHO menyenaraikan virus Nipah sebagai patogen berpotensi epidemik dengan kadar kematian antara 40% hingga 75%, bergantung kepada keupayaan sistem kesihatan tempatan.
Sumber: Gov PR Thailand, The Star

Leave a Reply