Rasuah e-waste: SPRM beku 16 akaun bank bernilai RM10.2 juta

KUALA LUMPUR 27 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 16 akaun bank bernilai kira-kira RM10.2 juta susulan siasatan kes rasuah membabitkan pemprosesan sisa elektronik (e-waste), pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut sumber, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM telah disambung reman sehingga 30 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM Negeri Sembilan turut menahan empat individu lain termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan untuk direman dari 20 hingga 26 Januari.

“Siasatan setakat ini turut membawa kepada penyitaan wang tunai berjumlah RM87,000 serta barangan kes dianggarkan bernilai RM220,000 termasuk kenderaan dan barang kemas,” kata sumber itu.

Menurutnya, tangkapan dan reman membabitkan pengarah syarikat serta pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang disyaki melindungi kilang-kilang memproses e-waste dan kegiatan pembuangan buangan berjadual tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan lanjut dalam tempoh terdekat selaras dengan perkembangan siasatan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13800

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *