Lelaki maut pacuan empat roda dipandunya terbabas rempuh Plaza Tol Bentong

BENTONG 27 Jan – Perjalanan seorang lelaki dari Raub ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bentong, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian yang berlaku di Kilometer (KM) 61.7 lebuh raya itu mengorbankan mangsa, Mohd Sapri Aziz, 65, yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu yang dipandu dari arah Raub menuju ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu melanggar tiang keselamatan batu nosing di Lorong 02 Plaza Tol Bentong.

“Pelanggaran menyebabkan kenderaan terbalik ke sebelah sisi kanan bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, isteri mangsa yang berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan di kepala dan telah dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Zaiham berkata, kes kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Usaha mengesan saksi termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Plaza Tol Bentong sedang dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan, selain menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13806

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *