PUTRAJAYA 27 Jan – Kerajaan memperkenalkan Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama dengan peruntukan RM10 juta bagi membantu kira-kira 5,000 pemilik kenderaan menukar kenderaan lama kepada model baharu yang lebih selamat dan mesra alam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata inisiatif di bawah Belanjawan 2026 itu menyasarkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun, dengan penekanan khusus kepada penggunaan jenama automotif nasional.
Menerusi program berkenaan, penerima yang layak akan menikmati geran padanan sehingga RM2,000, yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan bagi mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu.
“Pendekatan geran padanan ini memastikan kerajaan dan industri berkongsi tanggungjawab, sekali gus memberikan impak kewangan yang lebih bermakna kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan program berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON), Tan Sri Syed Faisal Albar.
Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama itu hanya terbuka kepada pemilik semua model Proton, manakala bagi Perodua, ia terhad kepada model Aruz dan Ativa.
Menurut Loke, program itu diwujudkan sebagai satu intervensi keselamatan jalan raya dengan matlamat mengurangkan bilangan kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan di jalan raya.
Katanya, kenderaan lama lazimnya berisiko mengalami kegagalan mekanikal, kurang ciri keselamatan moden dan tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
“Setiap kenderaan lama yang dikeluarkan daripada jalan raya melalui program ini adalah satu risiko yang berjaya dikurangkan dan satu langkah ke arah melindungi nyawa pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau menegaskan keselamatan jalan raya bukan sekadar isu statistik, sebaliknya membabitkan nyawa manusia, keselamatan keluarga dan kesejahteraan komuniti.
Pelaksanaan program itu turut diperkukuh menerusi penggunaan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan proses pembatalan pendaftaran dilaksanakan secara digital, pantas dan telus.
Pendigitalan itu membolehkan pemilik kenderaan membatalkan pendaftaran tanpa perlu hadir ke kaunter, sekali gus mengurangkan birokrasi dan tempoh menunggu.
Kenderaan lama yang menyertai program ini akan dilupuskan secara sah melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF), iaitu pusat pelupusan berlesen yang mematuhi piawaian alam sekitar.
Loke berkata, mekanisme AATF memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram, selain mengelakkan penyalahgunaan identiti dan nombor pendaftaran.
“Pelupusan terkawal ini juga membolehkan bahan buangan dan komponen kitar semula diurus dengan selamat serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran,” katanya.
Selain itu, program berkenaan turut membantu menangani isu kenderaan terbiar di kawasan awam yang boleh menjejaskan keselamatan, kebersihan persekitaran dan imej bandar.
Loke berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat, malah menyokong pertumbuhan industri automotif tempatan dengan merangsang permintaan domestik serta aktiviti ekonomi.
Katanya, rantaian industri automotif dan sektor kitar semula turut menerima limpahan manfaat menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti pelupusan serta penggantian kenderaan.
Beliau menegaskan penumpuan kepada jenama automotif nasional selari dengan usaha kerajaan memperkukuh industri tempatan dan memastikan dana awam dimanfaatkan secara berkesan.
“Program ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan penyelesaian praktikal, bersasar dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.
Maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan mekanisme permohonan akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13818

Leave a Reply