Perlu segera ‘reinkarnasi’ FAM

Pihak ‘bijak pandai’ yang memiliki minat terhadap bola sepak disaran untuk mempersiapkan diri bermula sekarang untuk tampil dengan idea yang lebih segar dan mampu meyakinkan ahli gabungan bagi menerajui era baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, impian untuk ‘kelahiran semula’ FAM mungkin akan berdepan masalah besar sekiranya ramai pihak yang mula rasa takut untuk menawarkan diri

Malah, lebih terus sekiranya timbulnya persepsi wujudnya kartel yang mengawal ekosistem dalam badan induk bola sepak negara itu.

“Saya hairan kalau tidak nampak siapa pemimpin yang mampu mengemudi FAM kerana selama ini pun pemimpin hadir daripada rakyat kita, tidak ada pula mereka datang daripada langit. Tetapi, kita perlukan masa kerana susahlah kalau nak (cari) secara mengejut.

“Disebabkan situasi tidak baik dalam FAM mungkin buatkan orang luar (calon pemimpin baharu) berhati-hati nak masuk. Dengan kesedaran tinggi selepas apa yang berlaku, harapnya ahli gabungan dan pemegang taruh mula buka mata.

“Jangan nampak sumber (calon baharu) terhad, jangan amalkan dasar kartel atau pasang ‘tembok tinggi’ sebaliknya berubah dan lebih terbuka. Jadi siapa yang berminat, mulakan kerja daripada sekarang kerana kalau tidak diberi peluang, susahnya nak jadi lebih baik,” katanya.

Ketika ini, wujud dakwaan bakal berlaku peletakan jawatan oleh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) secara beramai-ramai dan segalanya akan terjawab esok.

Situasi itu timbul ekoran ada khabar angin mengatakan langkah itu membolehkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengambil alih urusan pentadbiran FAM ekoran isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan dan mengelak penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/27/perlu-segera-reinkarnasi-fam/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *