SHAH ALAM – “Allah menentukan bahawa jodoh kami masih panjang.”
Demikian luahan penyanyi Datuk Nora Ariffin selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling meluluskan penarikan balik permohonan tuntutan perceraian yang difailkan sejak hampir setahun lalu.
Meskipun pernah meragui keputusan menarik balik permohonan cerai, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin, 53, percaya semuanya berlaku atas ketentuan Allah.
“Sebenarnya sebelum ini Rushdi pernah membuat permohonan supaya saya menarik balik kes, tetapi ketika itu saya masih ’50-50′.
“Namun untuk hari ini, saya ambil keputusan dan saya percaya dengan ketentuan Allah, saya yakin apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah.
“Keputusan ini bukan dibuat secara bersendirian. Saya berbincang dengan kakak dan keluarga,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu mengakui suaminya memiliki sikap terpuji dan dia mahu berusaha menjadi lebih baik.
“Namun yang lebih penting, selagi saya masih bergelar isteri, saya perlu menjaga hati suami.
“Saya tidak boleh memandang remeh kebaikan dia selama ini. Selain gangguan yang berlaku, dia sebenarnya seorang suami yang baik, bukan mudah untuk membuat keputusan ini.
“Dalam keadaan sekarang, ramai pasangan berpisah. Kita tidak boleh mengharapkan perkahwinan yang sempurna, tetapi kita sendiri perlu berusaha menjadi lebih baik, insya-Allah,” jelasnya.
Selain itu, Nora menyerahkan isu gangguan pihak ketiga kepada proses undang-undang dan mahu memberikan tumpuan terhadap kerjayanya.
“Tentang ruang kedamaian dengan pihak ketiga, hanya undang-undang yang boleh menentukan.
“Kita berusaha dan berikhtiar, selebihnya kita berserah. Hati manusia hanya Allah yang mampu memegang dan mengubahnya, kita lakukan yang terbaik.
“Saya berharap tahun 2026 ini kita boleh lebih tenang. Saya juga sangat sibuk dengan kerja pada tahun ini dan ingin lebih fokus kepada diri sendiri serta kerjaya saya. Itu yang lebih penting,” ujarnya.
Sementara itu kakaknya, Wan Shuraya Ariffin, 69, yang turut hadir menemaninya memaklumkan sering menasihati perkara positif kepada adiknya.
“Dalam rumah tangga ini banyak asam garam. Jadi laluilah dengan baik.
“Apa sahaja masalah, cubalah selesaikan bersama, saya rasa jodoh mereka masih panjang.
“Alhamdulillah, hari ini tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan saya harap perkara ini berkesan tanpa sebarang gangguan daripada pihak-pihak tertentu,” katanya lagi.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah meluluskan penarikan balik permohonan tuntutan perceraian yang difailkan pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin.
Hakim syarie, Ahmad Faizul Ashar membuat keputusan itu selepas pemohonan dibuat oleh Nora hari ini.
Pada 21 April tahun lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus pelbagai konflik susulan hantaran Instagram yang memaparkan video lafaz cerai Rushdi terhadapnya.
Selepas sebulan mengumumkan perceraian, Nora bagaimanapun memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Sebelum ini, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya pada 2021. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/27/selagi-masih-bergelar-isteri-saya-perlu-menjaga-hati-suami/

Leave a Reply