KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan menyifatkan tindakan segelintir pihak mempertikaikan kadar bayaran tinggi bagi perkhidmatan mencipta lagu sebagai pandangan sempit terhadap nilai sebenar seni dan kepakaran.
Ujar Amylea, 39, setiap bidang mempunyai struktur bayaran tersendiri bergantung pada pengalaman, kualiti serta usaha dicurahkan, termasuk dalam dunia penghasilan karya muzik.
“Dalam apa jua bidang, kadar bayaran berbeza mengikut kualiti kerja dan pengalaman. Prinsip sama terpakai dalam penciptaan lagu.
“Jumlah caj bukan diletakkan sesuka hati, sebaliknya disesuaikan dengan produktiviti, tempoh kerja, pengalaman serta usaha diberi sepanjang proses berkarya.
“Sebagai pencipta lagu, saya bekerja keras untuk memastikan hasil diberikan sepadan dengan nilai perkhidmatan ditawarkan,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Kendati itu, dia memahami keluhan segelintir komposer apabila kadar bayaran sering menjadi pertikaian walaupun usaha dicurahkan bukan sedikit.
“Saya faham perasaan pencipta lagu lain apabila caj dipersoalkan, sedangkan mereka bertungkus-lumus menghasilkan karya terbaik untuk klien,” ujarnya pada majlis Vicenary Intimate Live Session With Amylea Azizan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) menegaskan proses mencipta lagu bukan kerja mudah seperti disangka ramai sebaliknya menuntut daya kreativiti tinggi serta komitmen emosi dan mental.
“Seni penghasilan lagu sangat besar nilainya. Prosesnya menuntut kebijaksanaan, kreativiti serta sentuhan jiwa. Itu anugerah istimewa daripada Allah.
“Namun kefahaman setiap orang berbeza. Ada pihak sukar memahami kerana mereka tidak berada dalam industri ini.
“Jadi tiada gunanya kita berhempas pulas menjelaskan kepada mereka yang tidak akan faham tugas sebenar pencipta lagu,” jelasnya.
Paling penting, dia bersyukur kerana kebanyakan pihak yang bekerjasama dengannya memahami selok-belok dunia muzik dan sanggup melabur peruntukan setimpal demi mendapatkan karya berkualiti.
“Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan klien saya faham nilai kerja kreatif.
“Kalau ada pihak mempersoalkan caj, saya akan menolak dengan cara baik dan anggap tiada rezeki untuk bekerjasama.
“Jika mereka rasa caj saya tinggi, mungkin boleh cari pencipta lagu lain lebih sesuai dengan bajet mereka,” tuturnya.
Amylea turut menegaskan isu kadar bayaran bersifat subjektif dan tidak wajar dijadikan bahan kecaman.
“Mungkin ada komposer lain sanggup menerima bayaran lebih rendah mengikut tahap pengalaman serta kemahiran masing-masing.
“Perkara ini subjektif dan tidak perlu dipertikaikan secara terbuka,” tuturnya.
Terdahulu, perkongsian komposer dan penyanyi rap, Lukmanul Hakim atau lebih dikenali sebagai Kmy Kmo dalam platform Threads mencetuskan perbincangan hangat apabila menyatakan kadar minimum RM18,000 bagi perkhidmatan penerbitan, gubahan, adunan, pemaduan serta penulisan lirik sebagai nilai wajar.
Isu tersebut timbul susulan masih ramai pihak gagal memahami kos sebenar penghasilan sesebuah karya, sekali gus mempertikaikan kadar bayaran tinggi secara membuta tuli tanpa mengetahui proses sebenar di sebalik tabir industri muzik. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/27/kadar-bayaran-berbeza-mengikut-kualiti-kerja-dan-pengalaman/

Leave a Reply