Seorang lelaki warga emas yang dipercayai gelandangan disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dalam satu kejadian yang berlaku di Medan Selera Kampung Jawa, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman memaklumkan, pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas Hospital Seberang Jaya pada 25 Januari 2026 kira-kira jam 7.30 malam, memaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an telah meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai seorang gelandangan. Mangsa sebelum itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh ambulans pada 24 Januari 2026 sekitar jam 2.48 pagi dan menerima rawatan di wad sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan penyakit jantung koronari. Bagaimanapun, mangsa turut didapati mengalami patah tulang rusuk di bahagian kiri badan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis telah menahan seorang suspek bagi membantu siasatan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan kes, ASP Hasryman bin Osman di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/lelaki-warga-emas-maut-dipukul-di-medan-selera-seberang-jaya/

Leave a Reply