Sindiket dadah bertukar ‘homestay’ bungkus dadah, polis rampas 261kg bernilai RM 13 juta di Sentul

KUALA LUMPUR 29 Jan – Taktik sindiket pengedaran dadah menyewa inap desa sebagai lokasi simpanan dan pembungkusan syabu akhirnya terbongkar apabila polis merampas 261 kilogram dadah bernilai RM13 juta dalam serbuan di Sentul, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata usaha mengesan sindiket itu dijalankan sejak tahun lalu sebelum kegiatan mereka berjaya dihentikan menerusi serbuan ke atas sebuah inap desa di Segambut, Sentul kira-kira jam 7 malam.

“Dalam serbuan itu, tiga suspek lelaki tempatan ditahan sebelum pemeriksaan di ruang tamu premis itu menemukan 13 guni mengandungi 250 bungkusan plastik teh Cina berisi bahan disyaki syabu.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 261 kilogram dengan nilai pasaran RM13 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (IPD) Sentul dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan berasingan, seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes sama turut ditahan berhampiran kawasan rumah inap desa berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket itu menyewa inap desa sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah sebelum diedarkan, selain kerap berpindah ke inap desa lain dalam tempoh singkat bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Selepas menginap kira-kira empat hari, mereka akan ke inap desa lain,” katanya sambil memaklumkan polis sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit.

Menurut Fadil, polis turut menyita harta milik suspek mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM100,100.

“Harta yang disita termasuk wang tunai RM100, sebuah kenderaan jenis Vellfire bernilai RM70,000 serta sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bernilai RM30,000.

“Semakan mendapati tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan salah seorang suspek mempunyai 13 rekod, manakala dua lagi suspek mempunyai dua dan lima rekod,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti berkaitan dadah.

“PDRM khususnya JSJN akan terus memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13863

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *