GEORGE TOWN 29 Jan – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang menggesa penganut Hindu supaya mengamalkan kesederhanaan dengan mengurangkan jumlah kelapa yang dipecahkan sempena sambutan Thaipusam tahun ini, susulan kekurangan bekalan kelapa di pasaran.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, gesaan itu bukan bertujuan menghalang amalan keagamaan, sebaliknya mengajak penganut mengehadkan bilangan kelapa yang dipecahkan dan menyalurkan lebihan wang kepada golongan yang memerlukan.
“Kami tidak mengatakan supaya penganut tidak memecahkan kelapa tetapi mengurangkan bilangannya dan mendermakan baki wang itu kepada keluarga yang menghadapi masalah kewangan, rumah jagaan orang tua atau rumah jagaan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.
Beliau berkata, sekiranya setiap penganut yang menyambut Thaipusam pada 1 Februari ini hanya memecahkan sebiji kelapa seorang, penjimatan wang tersebut mampu memberi manfaat kepada ribuan individu, khususnya dalam kalangan masyarakat India berpendapatan rendah atau kumpulan B40.
“Penggunaan kelapa secara berlebihan boleh menyebabkan harga meningkat dan berisiko mengakibatkan kekurangan bekalan di pasaran.
“Hasil tinjauan yang dilakukan sempena Thaipusam 2026, para peniaga mengesahkan berlakunya kekurangan bekalan pada tahun ini,” ujarnya.
Menurut Subbarow, bagi mengesahkan keadaan tersebut, pihaknya turut menghubungi pengusaha ladang kelapa di Bagan Datuk, Perak yang memaklumkan hasil kelapa tahun ini lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
“Keadaan cuaca ekstrem dan perubahan iklim dipercayai menjadi faktor utama kepada penurunan pengeluaran kelapa,” katanya.
Mengulas amalan keagamaan itu, beliau berkata memecahkan kelapa merupakan ritual suci dalam agama Hindu yang melambangkan penyerahan ego seseorang di hadapan Tuhan serta perlu dilakukan dengan penuh pengabdian dan keikhlasan.
“Kelapa yang dipecahkan sepatutnya dikumpulkan untuk dimakan atau digunakan dalam masakan selaras dengan ajaran Hindu yang menekankan larangan pembaziran makanan.
“Dalam tradisi Hindu, makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan dianggap sebagai prasadam dan tidak boleh dibuang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap salah faham dalam kalangan sesetengah pihak, khususnya bukan Hindu, yang beranggapan bahawa memecahkan lebih banyak kelapa akan membawa lebih banyak tuah.
“Akibatnya beribu-ribu kelapa dipecahkan setiap tahun dan dibuang ke tapak pelupusan sampah atau dibakar sekali gus menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
“Perbuatan ini bukan sahaja tidak bersifat keagamaan malah tidak praktikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penganut Hindu agar menghayati makna sebenar amalan memecahkan kelapa dengan melaksanakannya secara sederhana, berhemah dan selaras dengan ajaran agama, terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Kita harus menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda agar amalan keagamaan terus dihormati dan dilaksanakan dengan penuh kesedaran,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13867

Leave a Reply