KUALA LUMPUR 29 Jan – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menganugerahkan RM550,000 sebagai ganti rugi kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, selepas membenarkan saman fitnah yang difailkannya terhadap aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, serta pempengaruh, Nurpais Ismail.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, memerintahkan kedua-dua defendan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 ganti rugi teruk dan RM100,000 ganti rugi teladan, selain kos RM40,000 kepada plaintif.
Dalam penghakimannya, Arziah memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat adalah bersifat memfitnah, serius serta memberi kesan memudaratkan kepada reputasi plaintif dan boleh diambil tindakan undang-undang.
Menurut beliau, naratif defendan pertama menggambarkan plaintif sebagai individu yang mencapai kejayaan melalui hubungan politik dan bukannya merit, memanipulasi proses politik demi kepentingan peribadi, selain melambangkan unsur rasuah serta keegoan dalam politik.
Mahkamah turut mendapati serangan terhadap watak plaintif bertujuan melabelkannya sebagai tidak jujur, tidak beretika dan tidak layak memegang jawatan amanah awam, sekali gus merendahkan martabatnya di mata masyarakat serta menjejaskan reputasi perniagaan, profesional dan peribadi.
Arziah berkata, kenyataan memfitnah itu jelas merujuk kepada plaintif apabila defendan pertama menamakan Farhash secara berulang kali dalam temu bual, termasuk dengan menyebut peranannya sebagai setiausaha politik Perdana Menteri dan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Perak.
Beliau turut memutuskan bahawa defendan kedua bertindak sebagai penerbit yang aktif, mempunyai kawalan penuh ke atas penerbitan kandungan tersebut, serta menambah tajuk sensasi bagi memaksimumkan tontonan dan keuntungan komersial.
Mahkamah juga mengambil kira kegagalan kedua-dua defendan menurunkan video berkenaan walaupun telah menerima surat tuntutan pada 12 Mei 2025, yang menunjukkan niat untuk meneruskan penerbitan fitnah itu.
Menurut Arziah, kenyataan berkenaan telah menyebabkan kerosakan serius dan berterusan terhadap reputasi plaintif dalam aspek peribadi, politik, profesional dan komersial, khususnya dalam era digital di mana kandungan dalam talian boleh diakses tanpa had.
Farhash memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan pada 26 Mei 2025. Namun, mereka gagal hadir ke mahkamah atau memfailkan pernyataan pembelaan walaupun writ saman telah diserahkan dengan sempurna. Perbicaraan berlangsung pada 12 Januari lalu dengan Farhash sebagai satu-satunya saksi.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13871

Leave a Reply