Anak Datuk dia pun Datuk, pernah kerja cuci najis

SIAPA sangka figura yang digelar sebagai cef selebriti ini hanya mula belajar menanak nasi pada usia 18 tahun, itu pun disebabkan berjauhan dengan keluarga ketika menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan dan kewangan di Wellington, New Zealand sekitar tahun 1990-an dahulu.

Begitulah perkongsian Datuk Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 48, yang mengakui menjadi seorang cef tidak pernah berada dalam senarai impiannya padan zaman persekolahan.

Meski pada awalnya bidang kulinari tidak pernah wujud dalam kamus hidup, semuanya berubah 180 darjah selepas menyertai pertandingan Masterchef Selebriti Malaysia sekitar 2012.

“Dahulu memang saya tak minat, sedangkan keturunan saya termasuk ibu bapa dan tok wan saya sangat mahir memasak. Semua memang berdarah tukang masak.

“Tidak minat itu sehingga saya tak tahu masak nasi sehinggalah pada usia 18 tahun ketika belajar di New Zealand.

“Saya hubungi ibu dan tanya macam mana nak masak nasi, kemudian dia ajar masukkan beras dan sukat air guna jari.

“Saya tak tahu, yang masukkan jari untuk sukatan air sebab ingatkan ikut pantang larang orang tua.

Tidak bermula dengan mudah, Fazley berkata juga pernah menjadi seorang pencuci tandas di sebuah restoran di New Zealand sebelum dinaikkan pangkat sebagai pembantu di bahagian dapur.

Namun, detik paling getir perlu dilaluinya adalah apabila tiba ‘hari mabuk’ penduduk di sana iaitu pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu yang menyaksikan mereka mula kencing serta muntah di merata-rata tempat.

“Kerja saya ketika itu, perlu kaut najis dengan tangan sebab itu saja cara yang saya terfikir untuk masukkan benda itu ke dalam lubang tandas.

“Sebab nak cari duit, memang sudah tidak terfikir tentang kotor tetapi selepas enam bulan, saya naik pangkat dan mula masuk ke dapur, belajar potong sayur serta siang ikan.

“Pengalaman sebegitu yang banyak mengajar dan membentuk seorang Fazley hari ini, selain menjadi manusia lebih bersyukur serta kerja keras untuk dapatkan sesuatu,” tuturnya.

Sayangnya, biarpun sudah menempuh pengalaman ‘ngeri’ sebegitu, dia tetap nekad untuk tidak meneruskan kerjaya dalam bidang kulinari meskipun beberapa kali persoalan serupa ditanya bapanya, Allahyarham Datuk Yaakob.

“Apabila balik Malaysia, saya masih tak hiraukan dengan dunia memasak dan memilih untuk jadi penyanyi sehingga digelar sebagai ‘abang asmara’ selepas lagu Asmara Ini meletup.

Kemudian semuanya berubah selepas saya menyertai Masterchef Selebriti Malaysia secara tidak sengaja.

“Awalnya memang panik sebab tak pandai masak sangat tetapi kerja keras dan bantuan daripada keluarga yang membuatkan saya berjaya jadi juara,” kata bapa kepada empat orang cahaya mata itu dengan senyuman puas.

Adat dijulang pasti ada yang menjolok, Fazley mengakui tidak terlepas daripada digelar dengan pelbagai label tidak manis daripada segelintir pihak yang mempertikai keputusan dan kemampuannya dalam bidang kulinari.

Kemuncak perdebatan mengenai kelayakannya bergelar cef terlihat selepas membuka restoran dan memperkenalkan menu ciptaan sendiri iaitu pasta daging salai lemak cili api serta pencuci mulut, sweet table.

“Ketika itu berlaku juga cemuhan dalam kalangan cef yang label saya budak ‘mi segera’ sedangkan saya ada empat sijil dalam bidang kulinari.

“Tapi rezeki Tuhan, menu-menu yang saya cipta semuanya viral walaupun ramai kecam sehingga ada yang cakap saya rosakkan makanan Melayu yang perlu makan dengan sudu dan garpu.

“Menariknya, kurang sebulan saya perkenalkan menu pasta tersebut, lebih 50 buah restoran hasilkan resipi yang sama, jadi ikutan tapi itulah cara saya, sentiasa mahu mencari kelainan dalam masakan,” katanya lagi.

Lebih 30 tahun bergelar anak seni, segala kecaman dan kritikan pedas yang diterimanya sejak dahulu membuatkan Fazley semakin matang dalam mengendalikan emosi sekiranya melalui situasi sama ketika ini.

Nyanyian dihina, lakonan dikritik dan makanan dilabel tidak sedap, kata-kata pahit sedemikian sudah cukup mendewasakan anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

“Kalau kalian rasa seseorang itu terlampau banyak kongsi cerita buruk tentang kehidupan peribadi atau perkahwinan dan tidak setuju dengannya, jangan baca serta elak tinggalkan komen.

“Kalian tiada hak nak halang perkongsian orang yang anggap media sosial adalah ‘rumah’ untuk mereka muat naik macam-macam cerita.

“Tidak salah pun sebab semua ada hak dan kebebasan untuk bersuara,” tuturnya.

Sempat dilayangkan pertanyaan mengenai segelintir pihak yang secara terbuka berkongsi mengenai isu rumah tangga sendiri dalam media sosial, duda hangat itu berkata, tindakan tersebut adalah hak peribadi.

“Sebenarnya perkongsian tentang isu perceraian sangat subjektif. Perkara itu akan jadi baik kalau orang melihat secara positif dan sebaliknya.

“Semuanya berbalik kepada kita. Sebab yang menaip dalam media sosial dan tekan butang ‘send’ juga kita.

“Jadi, memang tak boleh nak salahkan netizen atau orang yang membaca apabila orang menghentam selepas kita sendiri yang berkongsi tentang keburukan,” ujarnya.

Fazley juga sempat meninggalkan peringatan terhadap artis generasi muda agar tidak memuat naik sebarang hantaran ketika emosi dalam fasa sedih atau terlalu gembira.

“Sekarang bila sudah sedar salah, mereka cakap jangan risau sebab sudah padam tetapi mereka lupa zaman sekarang ‘screen capture’ itu mudah.

“Bila sudah kongsi, semuanya akan kekal dalam internet selama-lamanya. Jadi, nasihat saya pada artis baharu adalah jangan kongsi ketika marah dan kecewa.

“Jangan berjanji dan muat naik sesuatu kepada netizen ketika terlalu gembira sebab zaman sekarang artis muda mereka tak fikir dengan akal tetapi berfikir dengan emosi,” jelasnya.

Bintang filem Janji Diana itu turut mengingatkan orang ramai agar berpada-pada ketika meninggalkan sebarang komen yang sekelip mata boleh menjadi viral seluruh dunia.

“Nasihat saya, netizen boleh komen apa saja tetapi jangan sampai menghina dan buka ruang untuk disaman sebab negara kita ada undang-undang,” ujarnya menutup perbualan.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/31/anak-datuk-dia-pun-datuk-pernah-kerja-cuci-najis/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *