EPL: United mula ‘angau’ kemenangan

MANCHESTER – Selepas kejayaan meraih kemenangan dalam dua perlawanan besar menewaskan Manchester City dan Arsenal, Manchester United merancang untuk meraih kemenangan ketiga aksi minggu ini.

Bakal melayan kunjungan Fulham di Old Trafford malam ini, skuad kendalian Michael Carrick pastinya tidak akan berdepan laluan mudah ketika lawan mereka itu turun mengintai rentak kemenangan selepas kejayaan pada menewaskan Brighton sebelum ini.

Carrick menggesa para pemainnya kembali menyimpan perasaan gembira dengan dua kemenangan sebelum ini dan memberikan fokus untuk aksi berdepan Fulham bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat terbaik.

Beliau yang pernah mengemudi United pada 2021 itu ketika ini berjaya mengumpul 10 mata dalam empat aksi pasukan itu di bwah bimbingannya menerusi tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

“Saya sedar berdasarkan perspektif kami, pasukan ini perlu bergerak ke depan untuk aksi seterusnya. Kami perlu mengekalkan tabiat yang baik dengan melakukan rutin seperti biasa.

“Saya tidak fikir kami perlu melihat terlalu jauh, hanya perlu fokus untuk aksi kali ini terlebih dahulu. Kami akan mengakhiri musim dengan keputusan yang kami peroleh dalam setiap perlawanan.

“Saya tahu bahawa ramai yang begitu teruja ketika ini, tetapi dengan melihat dan meletakkan impian yang terlalu jauh mungkin akan memberikan kami kesukaran. Kami perlu menghadapinya minggu demi minggu dan perlawanan demi perlawanan.

“Kami perlu tahu mengawal emosi, perlu menggunakan tenaga dan keyakinan pada tempat yang betul. Apa yang penting kami perlu kekal merendah diri dan memahami bagaimana kami mampu memenangi dua perlawanan sebelum ini,” katanya.

Fulham ketika ini berada di kedudukan ketujuh dan kekurangan empat mata berbanding United selepas melalui prestasi yang baik selepas hanya tewas sekali dalam lapan perlawanan terakhir. – AGENSI

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/01/epl-united-mula-angau-kemenangan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *