Mok Su Viral Kota Bharu meninggal dunia, disyaki langgar lari

PETALING JAYA – Seorang wanita yang sebelum ini tular sebagai ‘Mok Su Viral’ di Kota Bharu, Kelantan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran anak saudaranya, Engku Seri Kelantan di Facebook.

“Bonda saudara ambo (saya) sudah tiada akibat kes langgar lari awal pagi tadi. Terima kasih Kenny Razali memaklumkan pada ambo tadi.

“Mok Su viral terkenal di Kota Bharu sebagai Mok Su Bedak Sejuk masih berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Ambo juga dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu. Mohon rakan-rakan sedekahkan Al-Fatihah buat arwah,” tulisnya.

Menerusi beberapa video orang awam, difahamkan kejadian kemalangan tersebut berlaku di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu.

Allahyarham ‘Mok Su Viral’ sebelum ini sering tular kerana sering memakai bedak sejuk penuh muka dan sering dirakam berbual mesra dengan orang ramai.

Allahyarham sering kelihatan berlegar-legar di sekitar Kota Bharu, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai dan premis perniagaan, sehingga wajah serta telatahnya mudah dikenali penduduk setempat.

Sementara itu, tinjauan orang ramai di ruangan komen mendapati ramai terkejut dengan berita pemergian ‘Mok Su Viral’ sekaligus menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya TTC 10 tahun. Terjumpa Mok Su dekat Bazar Tok. Dia minta sedekah. Saya beri dan minta dia doakan dapat anak. Lepas dua bulan terus lekat. Tak tahu doa ikhlas dia atau memang takdir Allah. Al Fatihah Mok Su,” komen Norafina Daud.

“Walaupun Mak Su dalam keadaan macam tu, tapi Mak Su selalu wangi. Semoga Mak Su wangi sampai syurga dan selamanya,” komen Basry.

“Al Fatihah, dah lama tak dengar khabar Mok Su. Dulu selalu juga terjumpa. Salam takziah buat keluarga,” komen Azie. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/01/mok-su-viral-kota-bharu-meninggal-dunia-disyaki-langgar-lari/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *