Lelaki warga asing ditahan cuba sogok polis ketika pemeriksaan jalan raya

KUALA LUMPUR 1 Feb – Cubaan seorang lelaki warga asing menyogok pegawai polis bagi mengelak tindakan undang-undang membawa padah apabila dia ditahan semasa pemeriksaan jalan raya di Jalan Suasa 6, Sungai Besi, Cheras, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.07 pagi.

Menurut beliau, insiden berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika seorang pegawai polis berusia 47 tahun sedang menjalankan tugas pemeriksaan rutin di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang menunggang sebuah motosikal gagal mengemukakan lesen memandu kelas B2 serta dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lelaki warga asing berusia 24 tahun itu kemudiannya cuba menawarkan wang sogokan kepada pegawai polis terbabit sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Pegawai polis berkenaan telah memberi amaran tegas agar suspek tidak melakukan perbuatan rasuah, namun suspek enggan mematuhi arahan tersebut,” katanya.

Susulan itu, suspek ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Menurut Fadil, kes disiasat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63.

“Suspek kini direman selama 14 hari bermula 2 Februari hingga 15 Februari 2026 bagi membantu siasatan,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13910

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *