PETALING JAYA – Pengukuhan nilai ringgit yang kini mencecah RM1 bersamaan 8.01 baht Thailand benar-benar mencetuskan fenomena luar biasa apabila rakyat Malaysia dilaporkan sanggup beratur panjang di pintu sempadan negara semata-mata untuk masuk ke Thailand bagi tujuan melancong dan membeli-belah.
Tinjauan di media sosial mendapati, sejak Sabtu, suasana di pintu sempadan utama seperti Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam dilaporkan sesak teruk dengan kenderaan persendirian, bas pelancong dan motosikal.
Ada yang menunggu berjam-jam, namun tetap rela demi menikmati kelebihan kuasa beli ringgit yang semakin kuat.
Ramai mengakui peluang ini jarang berlaku selepas sekian lama ringgit berada dalam keadaan lemah.
Dengan nilai tukaran yang menguntungkan, perbelanjaan makanan, penginapan, urutan tradisional serta barangan keperluan harian di Thailand kini dirasakan jauh lebih murah dan berbaloi.
“Sekarang tukar RM100 pun dah rasa macam orang kaya. Makan sedap, shopping puas hati,” kata seorang pengguna media sosial.
Fenomena ini turut menghangatkan sektor pelancongan rentas sempadan apabila tempahan hotel, homestay dan kenderaan sewa di selatan Thailand dilaporkan meningkat mendadak.
Peniaga tempatan di kawasan sempadan juga tidak melepaskan peluang meraih keuntungan daripada aliran pengunjung yang semakin ramai.
Di media sosial, situasi tersebut pantas tular dengan pelbagai video dan gambar kesesakan, disertai komen netizen yang menyifatkan ringgit kini kembali ‘bernyawa’ dan membuatkan pasport rakyat Malaysia kembali sibuk.
Dengan RM yang semakin kukuh, Thailand kini bukan sekadar destinasi percutian murah, tetapi lambang kebangkitan semula keyakinan rakyat terhadap kekuatan mata wang Malaysia.- KOSMO! ONLINE.

Leave a Reply