‘Rakyat mahu kita bekerja bela nasib mereka, bukan bergaduh sesama sendiri’ – Shahidan tegur pemimpin PN Perlis ​​​​​​​

KANGAR 3 Feb – Semua pemimpin dan ahli parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) Perlis diminta menghentikan budaya kecam-mengecam sesama sendiri di media sosial kerana tindakan itu disifatkan boleh melemahkan parti serta menjejaskan kepercayaan rakyat.

Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perbalahan terbuka dalam kalangan rakan seperjuangan bukan sahaja mencemarkan imej parti, malah menjejaskan kekuatan jentera politik, khususnya ketika PN sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, budaya saling mengkritik antara pimpinan PN Perlis di platform digital dilihat semakin berleluasa dan hanya menguntungkan pihak lawan.

“Bila kita serang sesama sendiri, musuh tidak perlu buat apa-apa dan keadaan ini langsung tidak memberi faedah kepada parti.

“Peranan media sosial yang besar dalam membentuk persepsi rakyat menuntut semua pemimpin bersikap lebih matang dan berdisiplin ketika menyampaikan pandangan atau kritikan.

“Pertelingkahan dalaman yang dipamerkan secara terbuka boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PN Perlis di pejabatnya di Pengkalan Asam, di sini malam tadi.

Shahidan berkata, kekuatan parti bergantung kepada keyakinan rakyat dan sekiranya imej PN rosak akibat isu dalaman, ia akan memberi kesan besar kepada persiapan menghadapi pilihan raya.

“Kita hendak ingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan perlembagaan parti sekiranya disiplin terus dilanggar.

“Keutamaan parti seharusnya tertumpu kepada isu rakyat termasuk kos sara hidup, jurang pendapatan dan peluang pekerjaan, bukannya perbalahan dalaman.

“Rakyat mahu melihat kita bekerja dan membela nasib mereka, bukan bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan, semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan ahli perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dapat dipelihara.

Walaupun tidak menyebut mana-mana individu secara khusus, umum mengetahui terdapat segelintir pimpinan PAS Perlis yang dilihat kerap mengeluarkan hantaran di Facebook (FB) mengkritik pelbagai pihak dalam PAS dan Bersatu Perlis termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin serta Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.

Situasi itu dikatakan susulan kemelut politik yang melanda negeri berkenaan sehingga menyebabkan Menteri Besar Perlis terdahulu, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan.

Malah, dalam siri hantaran kritikan di FB berkenaan, pemimpin PAS Perlis itu turut dilihat berterusan mencerca, menyindir serta membina naratif negatif terhadap tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang diberhentikan keahlian mereka pada 24 Disember lalu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13928

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *