Brickfields contoh keharmonian, Ahmad Zahid seru rakyat hormati rumah ibadat pelbagai agama

KUALA LUMPUR 3 Feb – Usaha memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini menuntut penekanan berterusan terhadap toleransi beragama, pembentukan akhlak serta aspek keselamatan rumah ibadat, khususnya di kawasan bandar yang menempatkan kepelbagaian penganut agama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keperluan itu semakin signifikan memandangkan kawasan bandar sering menempatkan pelbagai rumah ibadat sekali gus memerlukan sikap saling menghormati serta adab yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Menjadikan Brickfields di sini sebagai contoh, beliau berkata, kawasan itu menempatkan lebih 17 rumah ibadat pelbagai agama termasuk gereja dan kuil.

“Kita mesti belajar menghormati agama lain. Dalam keadaan inilah Malaysia menjadi sebuah negara yang harmoni, bertoleransi dan berbilang kaum,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan baharu (Fasa 1) Madrasathul Gouthiyyah (Surau Jumaat), Brickfields di sini, pada Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembangunan rumah ibadat perlu menekankan keseimbangan antara aspek fizikal dan pemakmuran fungsi sosial sebagai pusat pertemuan serta aktiviti kemasyarakatan.

Selain itu, beliau berkata, umat Islam perlu menjadi contoh terbaik melalui akhlak dan adab dalam menguruskan perbezaan.

“Sama ada perbezaan sesama umat Islam atau dengan penganut agama lain, kita mesti berpegang pada prinsip toleransi beragama,” katanya.

Sementara itu, bangunan tambahan yang siap bulan lalu dibina bagi menangani peningkatan jumlah jemaah serta aspek keselamatan di surau berkenaan, khususnya pada hari Jumaat.

Surau yang bermula sebagai madrasah pada 1987 dan dinaik taraf kepada Surau Jumaat pada 2012 itu berdepan cabaran kapasiti apabila hanya mampu menampung kira-kira 800 jemaah, menyebabkan solat terpaksa dilaksanakan di luar kawasan surau dan di atas jalan raya.

Buat masa ini, penutupan sementara jalan utama selama kira-kira 30 minit ketika solat Jumaat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13933

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *