Anwar hilang sabar: pegawai lindungi penyeludupan e-waste akan diambil tindakan tanpa kompromi

PUTRAJAYA 3 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati bersekongkol atau melindungi kegiatan penyeludupan sisa elektronik (e-waste) secara haram di negara ini.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Perdana Menteri mengarahkan AKPS bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi membanteras sindiket berkenaan secara menyeluruh.

“Perdana Menteri dengan tegas mengarahkan sekiranya ada pegawai penguat kuasa yang terlibat memberi perlindungan atau menerima rasuah dalam kegiatan penyeludupan ini, tindakan keras perlu diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AKPS di sini, Selasa.

Menurut Mohd Shuhaily, isu integriti dalam kalangan agensi penguat kuasa kembali dibangkitkan Perdana Menteri sehingga beliau secara terbuka menyatakan sudah hilang kesabaran terhadap masalah rasuah yang berlarutan.

“Sejak awal saya menyertai AKPS, isu integriti telah menjadi keutamaan. Kerjasama dengan SPRM dan Jabatan Imigresen telah diperkukuh dan hasilnya, seramai 39 individu ditahan, ada yang sudah didakwa dan dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui siasatan berkaitan kegiatan counter setting dan flying passport masih belum berakhir apabila maklumat risikan serta aduan terus diterima, namun kekangan bukti menjadi cabaran utama.

Mohd Shuhaily menegaskan, pucuk pimpinan AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) AKPS bagi tahun ini akan memberi penekanan kepada nilai rampasan serta usaha menyelamatkan dana kerajaan daripada ketirisan.

“AKPS bukan agensi pemungut cukai, namun dua kayu pengukur baharu ini perlu diperhalusi dengan pendekatan menyeluruh yang mengutamakan aspek keselamatan negara bagi menutup semua ruang ketirisan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Madani memberi laluan penuh kepada pihak berkuasa untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan aktiviti pengimportan e-waste secara haram, selain menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Malaysia sebagai tapak pelupusan sisa elektronik antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily memaklumkan AKPS akan memulakan operasi di pintu masuk baharu Rel Transit Sistem (RTS) di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura, tahun ini.

Katanya, Rang Undang-Undang RTS akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, selari dengan laporan bahawa RTS Link Johor Bahru–Singapura bakal dilengkapi 100 e-gate di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13945

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *