Di pentas wushu yang selama ini didominasi wajah-wajah tipikal, seorang remaja Malaysia berketurunan India berdiri dengan tenang, namun penuh tekad.
Atlet wushu negara berusia 19 tahun, Jazmin baru-baru ini mencetus sensasi apabila dilaporkan meraih pingat emas dalam pertandingan wushu peringkat antarabangsa di Hong Kong.
Jazmin mewakili Malaysia di Kejohanan Kung Fu Dunia ke-9 dan dia muncul sebagai pemenang dengan meraih emas atau tempat pertama bagi kategori Women’s Other Barehand Routines dan Women’s Nandao (Southern Broadsword), selain turut meraih tempat kedua dalam acara rutin berkumpulan.
Kemenangan itu sekali gus memecahkan sempadan kaum dalam arena sukan seni mempertahankan diri itu.
Sebagaimana yang kita tahu, sukan wushu sinonim dengan kaum Cina dan dikuasai negara-negara besar, justeru penyertaan Jazmin dari Malaysia dalam sukan itu memang pantas meraih perhatian.
Berkongsi dengan K-Remaja, Jazmin memberitahu sewaktu menantikan keputusan pertandingan itu, dia melihat namanya terpampang di barisan pertama dalam senarai pada papan skor sebagai pemenang pingat emas.
“Ketika itu, fikiran saya dipenuhi dengan rasa terharu dan bersyukur. Saya rasa cukup berbangga kerana telah mengharumkan nama negara kita, Malaysia,” kongsinya berasal dari Negeri Sembilan.
Menyedari kelainan dirinya berbanding peserta-peserta lain, Jazmin menganggap ia suatu yang istimewa.
“Saya mungkin bukan imej tipikal sukan ini tapi saya membawa semangat juang dan tujuan yang besar,” ungkapnya.
Meminati wushu sejak kecil sementelah mendapat pendidikan di sekolah Cina, Jazmin menyifatkan wushu membentuk keperibadiannya.
Jazmin menjalani latihan yang agak ketat dengan menghabiskan enam hari seminggu untuk berlatih tiga jam sehari.
Kejayaan tidak datang dengan mudah. Kongsi remaja berasal dari Negeri Sembilan itu, pengorbanan terbesarnya sepanjang bergelar atlet wushu adalah masa bersama rakan-rakan di sekolah.
Jazmin berkata, dia cukup menghargai momen menghabiskan masa bersama rakan-rakan seperti makan bersama atau sekadar bersiar-siar sambil berbual.
“Namun, saya tidak dapat berbuat begitu dek kerana jadual latihan yang padat,” ujarnya yang mendapat pendidikan di sekolah persendirian Cina di Seremban.
Mengakui pernah terfikir untuk berputus asa, Jazmin bagaimanapun sering mengingatkan diri tentang mengapa dia bermula dengan sukan wushu.
“Saya akan memberikan kata-kata semangat kepada diri seperti ‘I Can Do It’ atau ‘I Will Finish The Race’,” kongsinya yang menjadikan legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei sebagai idola dalam dunia sukan.
Jazmin, seperti yang pernah dikongsikannya dalam satu podcast baru-baru ini meluahkan menjadi satu-satunya gadis India dalam wushu sudah satu kelebihan besar.
“Saya rasa saya tak hebat sangat, tetapi untuk orang lain, mereka tidak tengok saya hebat atau tidak, ada pingat emas atau tidak. Orang tengok saya gadis India berwushu sahaja mereka sudah sangat kagum lalu mahu bergambar. Itu pun cara saya mendapat motivasi,” ujarnya.
Sempat menitipkan pesan buat remaja yang mengimpikan untuk berjaya dalam dunia sukan, Jazmin mengingatkan mereka untuk terus melangkah biarpun apabila terasa takut.
“Dunia ini memang penuh dengan perkara yang boleh menakutkan kita, tetapi kunci utamanya adalah untuk bertindak meskipun rasa takut itu ada. Jika kita hanya menunggu sehingga rasa takut itu hilang sepenuhnya, kita mungkin akan kekal di tempat yang sama tanpa sebarang kemajuan.
“Jadi, beranikan diri dan terus maju ke hadapan,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang Criminology di Britain satu hari nanti.
Jazmin bersekolah Cina berikutan bapanya, Waran Shanmugam turut pernah mendapat pendidikan sekolah Cina.
Jazmin dan abangnya kemudian turut disekolahkan di sekolah Cina. Di sekolah Cina, sukan wushu adalah sinonim dan dari situ anak-anak Waran mengenali wushu dan potensi itu terserlah pada Jazmin.
Kongsi Waran, dia mula menyedari potensi Jazmin dalam wushu ketika anaknya itu berusia enam tahun apabila Jazmin mengikuti gerakan wushu abangnya.
“Selepas setahun, Jazmin kemudian menyertai pertandingan peringkat Negeri Sembilan mewakili darjah satu. Pada pertandingan pertama itu, dia tidak memenangi pingat dan saya pernah cadangkan agar dia berhenti. Namun, Jazmin dengan tegas menyatakan hasrat untuk terus mencuba tahun berikutnya.
“Keteguhan hatinya itu sudah cukup untuk meyakinkan kami bahawa minatnya adalah benar dan mendalam,” katanya.
Tambah Waran, sejak itu, pada setiap tahun berikutnya, Jazmin tidak pernah lagi pulang tanpa pingat dan prestasinya bahkan terus meningkat dan konsisten.
Sebagai bapa, Waran bangga Jazmin menang di peringkat dunia, lebih-lebih lagi apabila melihat peserta-pesertanya dari seluruh dunia terutama China yang merupakan negara kelahiran sukan wushu.
Mengakhiri bicara, Waran berkata dia dan isterinya, Suzan sentiasa menitikberatkan rasa syukur dalam diri dua anak mereka iaitu Jazmin dan juga Juztin yang merupakan abang Jazmin.
“Kami sering berkongsi pengalaman hidup kami yang mana satu ketika dahulu, kami tidak mempunyai peluang yang sama.
“Untuk makluman, ibu Jazmin pernah menjadi atlet pecut jarak jauh dan mewakili sekolah serta daerah, namun tidak mempunyai peluang yang sama dengan Jazmin sekarang. Justeru, saya akan memberitahu mereka tentang kisah ini sebagai mengingatkan mereka untuk sentiasa menghargai peluang yang ada.
“Kami juga sentiasa menekankan kepada Jazmin agar sentiasa berusaha dan melakukan yang terbaik tanpa terlalu terikat dengan hasil akhir.
“Fokus pada proses dan usaha yang ikhlas lebih penting daripada mengejar keputusan semata-mata,” katanya.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/04/jazmin-gadis-wushu-india-malaysia-rentasi-imej-tipikal-sukan/

Leave a Reply