PERSIAPAN pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli yang bakal turun dalam musim penuh saingan Moto3 musim ini berdepan risiko ketika tirai perlumbaan rasmi bakal dibuka 1 Mac ini di Grand Prix Thailand.
Difahamkan, ZK Racing yang menguruskan Hakim Danish sehingga kini masih menanti pengesahan penuh dan penyaluran dana daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi membolehkan segala perancangan program digerakkan secara menyeluruh.
Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin mengakui kelewatan tersebut memberi kesan langsung, bukan sahaja kepada Hakim Danish, malah menjejaskan bajet program pembangunan Moto4 yang melibatkan seorang lagi pelumba berbakat, Qabil Irfan Azlan termasuk aspek latihan, ujian jentera serta kesiapsiagaan mental pelumba.
“Sebenarnya untuk Danish, kita sudah tetapkan dia akan berlumba dan perjanjian mengenainya sudah ditandatangani sejak tahun lalu. Cuma sekarang kita di peringkat menunggu langkah seterusnya daripada SIC.
“Kita faham apabila berlaku pertukaran dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mungkin ada hala tuju berbeza yang mengambil masa, namun saya sendiri tidak pasti status kelulusan itu sekarang,” katanya.
Tegas Zulfahmi, situasi menunggu ‘lampu hijau’ terlalu lama adalah berisiko tinggi memandangkan saingan Moto3 menuntut persiapan awal yang konsisten.
“Kalau kita mahu tunggu kelulusan (bajet) dapat baru hendak pergi berlatih atau berlumba, memang tidak sempat. Kita tidak mahu ambil risiko yang tidak sepatutnya, terutama melibatkan insurans dan keselamatan pelumba,” jelasnya.
Dalam masa sama, bekas pelumba Moto3 negara itu mendedahkan dia terpaksa mendahulukan bajet sendiri bagi memastikan program latihan pelumba negara tidak tergendala.
“Buat masa sekarang, ya, guna duit sendiri. Inilah tanggungjawab yang saya rasa perlu saya lunaskan dahulu demi memastikan pelumba kita kekal kompetitif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulfahmi turut menuntut agar sukan permotoran diberikan layanan adil seperti sukan-sukan teras lain yang sering mendapat keutamaan peruntukan dana awal.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/04/dana-kurang-persiapan-hakim-danish-terencat/

Leave a Reply