Bakar suar di Jambatan Angkat, 12 penyokong Selangor FC didakwa positif dadah

KUALA TERENGGANU 4 Feb – Tindakan segelintir penyokong Selangor FC yang mencetuskan kekecohan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Ahad lalu membawa padah apabila 12 individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Daripada jumlah itu, seorang tertuduh turut berdepan dua pertuduhan tambahan kerana memiliki dadah jenis ganja dan nimetazipam.

Kesemua tertuduh dihadapkan secara berasingan di hadapan dua Majistret, iaitu Iffah Nabihah Mohd. Ishak dan Noor Mazrinie Mahmood, dan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan masing-masing dibacakan.

Tertuduh pertama, Muhammad Amirul Izham Anuwa, 26, didakwa memiliki dadah jenis kanabis atau ganja seberat 1.12 gram serta nimetazipam seberat 0.37 gram.

Dia juga berdepan satu lagi pertuduhan kerana memasukkan dadah disyaki jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 3 pagi, 2 Februari lalu.

Di mahkamah majistret berasingan, enam lagi tertuduh iaitu Mohamad Shafirul Hisham Hassan, 26, Muhamad Syafiq Junaedi, 27, Ahmad Naqiuddin Ahmad Nordzri, 29, Ahmad Ziyad Zulkifli, 26, dan Muhammad Afiq Haikal Gunawan, 27, masing-masing didakwa memasukkan dadah jenis THC ke dalam badan mereka.

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Asyraf Azli, 25, pula didakwa memasukkan dadah disyaki jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Semalam, Kosmo! melaporkan seramai 33 penyokong Selangor FC ditahan selepas berarak dan membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu kira-kira pukul 6.30 petang, Ahad lalu ketika dalam perjalanan untuk menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13970

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *