KUALA LUMPUR 5 Feb – Kerajaan sedang meneliti semula keperluan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM100,000 secara bersasar kepada komuniti India yang memerlukan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dengan mengambil kira daerah yang merekodkan kepadatan penduduk India tertinggi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pelaksanaan bantuan berkenaan sebelum ini tidak diteruskan kerana MITRA memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif pembangunan lain.
“Sebelum ini pada 2024 memang dirancang untuk bantuan RM100,000 diberikan kepada penduduk India merangkumi lokasi dengan kepadatan penduduk paling besar. Ia bukan ikut (kawasan) Parlimen tetapi ikut daerah yang ada kepadatan masyarakat India tempatan.
“Tetapi pada 2024 (ia tak dibuat) kerana ada banyak program berlainan contohnya pemerkasaan rumah ibadat, bantuan penyelenggaraan sekolah, program tadika, kemudahan awam dan pekerja ladang.
“Bagaimanapun, saya boleh beri jaminan, tahun ini kita teliti untuk buat semula program sama dengan berikan sedikit peruntukan tambahan secara bersasar sebab ahli Parlimen lebih tahu daripada kita yang duduk di MITRA, masyarakat India yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH–Shah Alam) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung kesediaan MITRA menyalurkan dana khas kepada pusat khidmat Parlimen bagi membantu masyarakat India yang memerlukan.
Dalam sesi sama, Ramanan turut menjawab soalan asal Kalam Salan (PN–Sabak Bernam) mengenai jaminan keberkesanan peranan MITRA selepas agensi itu diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan, penempatan MITRA di bawah KESUMA tidak mengubah mandat asalnya sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Menurutnya, langkah itu sebaliknya memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India dilaksanakan secara lebih bersepadu serta berimpak tinggi.
“Langkah ini bertujuan memastikan perancangan pelaksanaan dan pemantauan program MITRA dapat dilaksana secara lebih teratur, sistematik dan berkesan selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah KESUMA, pada masa sama ia turut perkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan peruntukan dan program MITRA,” katanya.
Beliau menambah, KESUMA komited membantu melaksanakan mandat MITRA menerusi kerjasama rentas agensi, pemantauan bersepadu serta penyelarasan dasar, dengan fokus utama kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13988

Leave a Reply