Cemburu buta punya pasal, penganggur tekup muka teman wanita dengan bantal hingga mati

BATU PAHAT 5 Feb – Seorang wanita ditemukan maut di sebuah rumah sewa di Taman Damai II, di sini, dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya yang bertindak di luar kawalan akibat cemburu melampau.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 41 tahun dipercayai ditekap mukanya dengan bantal oleh suspek sehingga meninggal dunia.

Katanya, pembunuhan itu dipercayai berlaku pada Selasa lalu, namun mayat mangsa hanya ditemukan pada Khamis, di atas katil bersebelahan suspek yang berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah selepas cuba membunuh diri.

“Suspek bertindak sedemikian kerana mengesyaki teman wanitanya ada kekasih lain,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Shahrulanuar, suspek yang merupakan seorang penganggur berusia 44 tahun turut mengalami kecederaan parah selepas dipercayai mengelar leher serta pergelangan tangan kiri menggunakan senjata tajam dalam cubaan membunuh diri.

Beliau berkata, pihak polis telah merekodkan sebahagian keterangan daripada suspek bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian pembunuhan berkenaan.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman terhadap suspek selama enam hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) tiba di perkarangan Mahkamah Batu Pahat kira-kira jam 8.30 pagi dalam keadaan leher berbalut susulan kecederaan dialami dalam cubaan membunuh diri.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13993

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *