‘Tak boleh macam ni’ – Ahli Parlimen tegur budaya ‘cium tangan’ menteri dalam kalangan kepimpinan ATM

KUALA LUMPUR 5 Feb – Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini menegur amalan ‘mencium tangan’ menteri dalam kalangan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang menurutnya wajar dihentikan.

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor (PN), membangkitkan perkara itu ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Teguran itu dibuat susulan penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Malek Razak Sulaiman, tunduk ketika bersalaman dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam satu majlis pada 3 Februari lalu.

Tindakan berkenaan dilihat seolah-olah mencium tangan menteri terbabit.

“Apa ini? Tak boleh macam ini. Ibu bapa kita tak apa. Tapi cium tangan menteri pertahanan ini tak betul.

“Jadi, saya harap Mindef betulkan benda ini,” katanya yang juga bekas pegawai kanan tentera.

Mengulas perkara itu, Adly Zahari berkata pandangan Khlir boleh dijadikan peringatan kepada semua Ahli Parlimen.

“Persoalan kedua itu tak perlu jawab, itu mungkin sebagai peringatan kepada kita semua,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan (PH), mencelah dengan menyatakan bahawa tindakan mencium tangan atau sebaliknya adalah pilihan peribadi individu.

“Berkaitan dengan cium tangan atau tidak, itu terpulang kepada individu. Cuma bila disebut dalam Parlimen ini, kesian juga jeneral masing-masing,” katanya.

Perbincangan tersebut timbul ketika ATM berdepan pelbagai dakwaan termasuk isu rasuah dan skandal dalaman.

Awal bulan lalu, tular dakwaan mengenai penganjuran ‘parti liar’ melibatkan pengambilan minuman beralkohol dan kehadiran peneman wanita di dalam pangkalan tentera.

Selain itu, beberapa bekas pegawai tertinggi ATM kini berdepan pertuduhan berkaitan rasuah, termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Nizam Jaffar; bekas Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Hafizuddeain Jantan; serta bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MiDA), Datuk Razali Alias.

Pada 23 Januari lalu, Nizam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM3.75 juta, termasuk dakwaan mengaut lebih RM550,000 daripada penganugerahan kontrak pembekalan barangan bagi pakej hadiah Hari Raya.

Dalam kes berasingan, Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000, selain empat pertuduhan lain melibatkan lebih RM2.12 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau merupakan bekas Panglima Tentera Darat pertama didakwa di mahkamah berkaitan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan tender perolehan Tentera Darat Malaysia.

Pada 29 Januari pula, Razali mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah, termasuk menerima suapan berbentuk wang dan dua tiket penerbangan pergi-balik ke Eropah untuk isterinya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13995

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *