KUALA PILAH – Seorang pesakit kanser ovari bangkit daripada kemurungan dengan melakukan aktiviti positif walaupun pada masa sama masih merasai kesakitan melampau akibat penyakit tersebut sejak enam tahun lalu.
Surianom Azmi, 40, berkata, selain terpaksa membuang ovari dan rahim, dia diuji dengan kematian suami dan bapanya hingga terpaksa mendapatkan rawatan psikologi.
Katanya, dia yang menghidap Major Depressive Disorder kembali bangkit apabila mengenangkan tugasnya sebagai ibu.
“Apabila disahkan hidap kanser ovari pada 2019 dan menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan, saya tertekan hingga mengabaikan tanggungjawab.
“Kanser itu sudah merebak ke paru-paru dan kini menjalani rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Saya menyewa di sebelah rumah adik yang membantu menguruskan anak,” katanya.
Menurut Surianom, kanser ovari amat menyakitkan seperti rasa tulang dipatah-patahkan dan ia merupakan salah satu penyebab kemurungan.
Tambahnya, dia kini sedang bercuti sakit sebagai kerani di Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah selain menyibukkan diri dengan bercucuk tanam dan menjual hartanah.
“Syukur saya masih mempunyai pekerjaan untuk menyara anak, boleh bergerak walaupun kebiasaannya selepas kemoterapi saya memerlukan masa sekitar dua minggu untuk pulih,” katanya.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/06/kanser-ovari-sakitnya-macam-tulang-dipatah-patah/

Leave a Reply