RM100 terus masuk MyKad: Kerajaan lancar SARA bermula Isnin

KUALA LUMPUR 6 Feb – Kerajaan melancarkan Program SARA Untuk Semua yang menyediakan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan penyaluran bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semakan kelayakan boleh dibuat menerusi portal rasmi sara.gov.my, tanpa perlu sebarang permohonan dibuat oleh penerima.

Menurut beliau, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia secara menyeluruh.

“Tiada permohonan diperlukan dan bantuan ini akan dikreditkan secara automatik ke MyKad masing-masing serta sah digunakan sehingga 31 Disember 2026,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Amir Hamzah berkata, Program SARA Untuk Semua merupakan sebahagian daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bertujuan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup melalui bantuan bersasar secara tanpa tunai.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi yang dijana dalam pasaran tempatan.

Barangan basah masih dikaji

Sementara itu, Amir Hamzah memaklumkan kerajaan masih menjalankan kajian terperinci berkaitan cadangan untuk memasukkan barangan basah sebagai kategori baharu di bawah program SARA.

Katanya, aspek kualiti, keselamatan makanan dan perlindungan pengguna perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Sehingga 3 Februari lalu, jumlah rakan niaga SARA meningkat kepada 10,700 kedai di seluruh negara, berbanding hanya 700 kedai pada 2024, dengan 3,000 daripadanya melibatkan peniaga kecil.

“Kami telah mendengar perutusan Perdana Menteri yang menegaskan jaringan SARA akan terus diperluaskan, dengan sasaran tahun ini sehingga 10,000 kedai runcit.

“Langkah ini dijangka mengurangkan jarak liputan penerima daripada 10 kilometer kepada tujuh kilometer dari kedai runcit terdekat,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Zaliha berhubung kesediaan kerajaan untuk menambah baik syarat serta tempoh kelulusan rakan niaga SARA, selain cadangan memasukkan barangan basah dalam kategori produk program berkenaan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14007

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *