SHAH ALAM 6 Feb – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes kerugian lebih RM200 juta membabitkan Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) kepada pihak berkuasa berkaitan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus menolak sebarang ulasan lanjut daripada pihak kementerian.
“Kita serah 100 peratus kepada mereka untuk menyiasat. Saya tidak boleh memberikan komen lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Madani Agro, di sini, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan di Parlimen bahawa Agrobank mengalami kerugian besar akibat kes jenayah penipuan dalam talian yang dilaporkan pada November tahun lalu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat mengesahkan jumlah kerugian sebenar dialami Agrobank mencecah RM203.8 juta.
Menurut beliau, seramai 47 individu telah ditahan berhubung kes berkenaan, dengan tiga daripadanya sudah didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan melibatkan penggunaan akaun keldai.
Bagaimanapun, Saifuddin tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai modus operandi penipuan tersebut, namun menegaskan bahawa tiada akaun pelanggan Agrobank terlibat dalam kes berkenaan.
“Siasatan terhadap 44 suspek lain masih diteruskan, dan pihak polis kini dalam proses memuktamadkan kertas siasatan dengan bantuan CyberSecurity Malaysia serta Bank Negara Malaysia,” katanya.
Kes berprofil tinggi itu mencetuskan persoalan mengenai tahap kawalan keselamatan dan pemantauan dalaman institusi kewangan, khususnya melibatkan bank berkaitan kerajaan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14008

Leave a Reply