Tragedi dinihari: Kanak-kanak 3 tahun maut rentung, tiga rumah musnah dalam kebakaran di Banting

BANTING 6 Feb – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, di sini, awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.44 pagi.

Menurut beliau, seramai 17 anggota dan pegawai bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, dengan bantuan BBP Banting serta BBP KLIA, dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi kira-kira 12 minit kemudian, didapati kebakaran melibatkan tiga unit rumah jenis bangunan Kelas B,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, setiap rumah terbabit dilaporkan terbakar hampir 90 peratus, selain maklumat awal memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak terperangkap di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.

Beliau berkata, pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.30 pagi.

“Pemeriksaan lanjut menemukan mangsa di bilik utama sebuah rumah dalam keadaan rentung pada jam 4.15 pagi,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tragedi ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan kebakaran di kawasan perumahan, khususnya melibatkan kanak-kanak.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14011

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *