SHAH ALAM 6 Feb – Penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti Alhamdulillah, Insya-ALLAH, Masya-ALLAH dan seumpamanya oleh golongan bukan Islam dalam perbualan harian adalah diharuskan, selagi tidak mencemarkan kesucian agama Islam atau mengandungi unsur penghinaan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, amalan tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dan berlaku secara semula jadi hasil pergaulan antara kaum, budaya serta agama.
Menurut penjelasan itu, dari sudut hukum syarak, perbuatan berkenaan dibenarkan dengan syarat ia digunakan dalam konteks yang betul, beradab serta tidak dijadikan bahan olok-olok, persendaan atau penghinaan terhadap Islam.
“Sekiranya seorang bukan Muslim mengucapkan Alhamdulillah, termasuk selepas bersin, maka harus bagi seorang Muslim menjawab dengan doa seperti ‘semoga ALLAH memberi hidayah kepada kamu’ atau ‘semoga ALLAH memberi kesembuhan kepada kamu’,” menurut kenyataan berkenaan.
Penjelasan itu turut disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA, yang menyebut bahawa golongan Yahudi pada zaman Rasulullah SAW sengaja bersin di hadapan Baginda dengan harapan didoakan rahmat, namun Baginda SAW mendoakan agar mereka diberikan hidayah dan diperbaiki keadaan, bukan rahmat keampunan.
Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa tidak dibenarkan memohon keampunan atau rahmat ALLAH untuk orang kafir, kerana rahmat tersebut adalah khusus bagi orang beriman.
Dalam hal ini, ulama seperti Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan bahawa doa yang sesuai untuk bukan Muslim ialah agar mereka dikurniakan hidayah dan taufiq untuk beriman kepada ALLAH SWT.
“Keharusan ini terbatal sekiranya kalimah-kalimah suci Islam digunakan dengan niat menghina, memperlekeh atau mempersendakan agama,” tegas kenyataan itu.
Sehubungan itu, umat Islam diingatkan supaya menjauhi majlis atau perbualan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap ayat-ayat ALLAH, selaras dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Nisa ayat 140.
Bagi memastikan keharmonian masyarakat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menggariskan beberapa panduan penting berkaitan penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim, antaranya tidak digunakan dalam bentuk penghinaan, tidak dijadikan bahan komersial yang mencemarkan makna asal serta perlu difahami maksud sebenar kalimah tersebut sebelum digunakan.
Secara keseluruhan, penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim dalam perbualan harian adalah dibenarkan, namun tertakluk kepada adab, niat, konteks serta penghormatan terhadap kesucian agama Islam.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14013

Leave a Reply