Satu sen tak sentuh, keluarga Altantuya pulangkan semula RM4.8 juta kepada kerajaan

KUALA LUMPUR 5 Feb – Keluarga Altantuya Shaariibuu memulangkan semula ganti rugi berjumlah lebih RM4.8 juta termasuk faedah kepada Kerajaan Malaysia, susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti berkaitan kematian model warga Mongolia itu pada 2006.

Peguam yang mewakili keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, berkata keseluruhan jumlah berkenaan tidak pernah digunakan dan disimpan dalam akaun pemegang amanah selaras dengan perintah mahkamah.

“Keseluruhan bayaran yang dibuat sebelum ini berdasarkan perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam, termasuk jumlah penghakiman penuh serta semua faedah terkumpul, telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sangeet, pemulangan berkenaan turut melibatkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, mengikut potongan pembayaran yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau menegaskan bahawa kes tersebut bukan berkisar soal wang semata-mata.

“Seperti yang sering dinyatakan oleh bapa Altantuya, perkara yang dicari ialah jawapan, kebertanggungjawaban dan pengakuan. Pemulangan wang secara segera dan sepenuhnya, termasuk faedah yang diperoleh, mencerminkan pendirian itu dengan jelas,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 2025 mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Abdul Razak masing-masing membayar RM4.7 juta kepada keluarga Altantuya serta mendepositkan jumlah itu sementara menunggu pendengaran rayuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap kematian Altantuya, memandangkan perbuatan dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, dilakukan di luar skop tugas rasmi mereka.

Untuk rekod, ibu bapa Altantuya bersama cucu mereka memfailkan saman sivil berjumlah RM100 juta pada 4 Jun 2007, mendakwa mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi akibat kematian Altantuya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022 membenarkan saman tersebut dan mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM5 juta secara bersama, sebelum kerajaan dan Abdul Razak mengemukakan rayuan.

Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2009 bagi kejadian yang berlaku di Shah Alam pada 19 dan 20 Oktober 2006. Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap kedua-duanya selepas mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13996

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *