Sekolah ada kuasa tentukan pakaian pelajar ketika musim panas

SEBERANG PERAI – Pihak pentadbir sekolah mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan pemakaian dan aktiviti para pelajarnya ketika cuaca panas melanda negara khususnya di wilayah utara ketika ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudahpun menetapkan garis panduan berhubung perkara tersebut yang merangkumi aspek pemakaian termasuk kebenaran untuk membuat penyesuaian pakaian sukan dan pengurusan aktiviti fizikal murid.

Menurutnya, pihak pentadbir juga disarankan merujuk panduan yang telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pihak pentadbir sebenarnya ada autonomi untuk melihat keadaan itu (cuaca panas) dari semasa ke semasa berdasarkan garis panduan yang telahpun kita perjelaskan.

“Saya mohon semua pentadbir sekolah untuk mengikuti garis panduan tersebut. Jadi, tidak ada isulah memandangkan garis panduan itu membenarkan maknanya dari segi pakaian dan juga aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam cuaca panas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Semarak Sejahtera Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal di Sungai Acheh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut menasihatkan pihak pentadbir sekolah agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca ketika ini selain berusaha mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran tempat pembelajaran kekal selamat dan kondusif.

Sebelum ini, MetMalaysia dilaporkan berkata, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami cuaca panas dan kurang hujan sehingga Selasa depan manakala beberapa lokasi berpotensi selain kawasan barat Semenanjung dan beberapa lokasi di Sabah serta Sarawak berpotensi dilanda ribut petir. -KOSMO ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/08/sekolah-ada-kuasa-tentukan-pakaian-pelajar-ketika-musim-panas/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *