Polis buru pemilik kenderaan susulan aksi baling kon di Plaza Tol LDP

SUBANG JAYA 9 Feb – Polis meminta pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden tular seorang individu membaling kon di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) supaya tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata satu laporan polis telah dibuat pada jam 1.37 pagi Isnin selepas pihaknya mengesan satu hantaran video di Facebook bertajuk ‘Pemandu Axia Naik Hantu Baling Kon di Plaza Tol Petaling Jaya LDP’.

Menurut beliau, setakat ini pemilik kenderaan yang terlibat masih belum tampil membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Kita meminta pemilik kenderaan terlibat supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Polis juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Azlan berkata, pihak polis kini sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada pihak polis.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Mohamad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-485 8907 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, video berkenaan tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menaiki sebuah Perodua Axia dipercayai memberhentikan kenderaannya secara mengejut sebelum bertindak membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain di hadapannya di plaza tol berkenaan.

Rakaman itu mencetuskan pelbagai reaksi warganet dan mengundang kebimbangan mengenai keselamatan pengguna jalan raya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14056

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *