KUALA LUMPUR 9 Feb – Kerajaan menegaskan komitmen untuk menangani isu rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan melalui pendekatan berperingkat dan berhemah, tanpa menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, pihak pengurusan rumah ibadat akan diberikan tempoh munasabah untuk mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
Katanya, prinsip asas yang digariskan kerajaan adalah jelas iaitu semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja atau kuil, tertakluk kepada undang-undang serta garis panduan yang sama, khususnya berkaitan pemilikan dan kelulusan tanah.
“Penyelesaian perlu dicari melalui dialog, peraturan dan saluran sah, bukan melalui pertikaian atau konflik.
“Saya komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya, berpandukan prinsip keadilan, keharmonian antara kaum dan pengukuhan perpaduan nasional demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara yang menekankan keperluan memperkukuh keharmonian serta perpaduan nasional.
Dalam majlis berkenaan, Anwar turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut undang-undang.
Yuneswaran berkata, walaupun negara berdepan pelbagai dinamika politik serta perbezaan pandangan dalam masyarakat, majoriti rakyat Malaysia tetap memahami bahawa negara ini perlu dibangunkan di atas landasan yang betul, berteraskan persefahaman, saling menghormati dan perpaduan yang kukuh.
“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan dihormati, demi menjamin masa depan yang lebih makmur dan bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14058

Leave a Reply