Kanak-kanak buka pintu kereta didakwa punca kemalangan

Sebuah kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Tun Razak pada Jumaat dipercayai berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak membuka pintu kereta secara tiba-tiba ketika kenderaan itu sedang bergerak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kemalangan dilaporkan berlaku di arah Bulatan Kampung Pandan menghala ke KLCC melibatkan empat kereta iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo, Perodua Bezza serta dua motosikal, Suzuki V-Strom SX dan CFMOTO 675 NK.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penumpang belakang, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, membuka pintu belakang kiri secara tidak sengaja ketika dipangku saudaranya.

“Seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun melanggar pintu kereta itu, hilang kawalan dan terlanggar beberapa kenderaan lain. Penunggang motosikal kedua berusia 30 tahun yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak,” kata Mohd Zamzuri.

Akibat kejadian, penunggang Suzuki V-Strom SX patah tangan kiri dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur, manakala penunggang CFMOTO 675 NK mengalami kecederaan ringan. Pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak polis percaya kemalangan berlaku kerana ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) tidak diaktifkan. Rakaman video kejadian yang tular kini sedang disiasat bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini tular di Thread, video yang merakamkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dibuka secara tiba-tiba dan menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terlanggar beberapa kenderaan lain.

🔗 Source: https://thereporter.my/kanak-kanak-buka-pintu-kereta-didakwa-punca-kemalangan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *