Lapan pelajar Kolej Vokasional ditahan, disyaki pukul rakan

Lapan penuntut sebuah kolej vokasional di Melaka ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan dan memukul seorang pelajar lain minggu lalu, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana mangsa didakwa memotong barisan ketika waktu makan.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Menurut beliau, semua pelajar yang terlibat telah dikenakan tindakan penggantungan persekolahan selama dua minggu sementara siasatan dijalankan.

“Kes ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana melibatkan kolej vokasional, manakala Jabatan Pendidikan Negeri hanya berperanan membimbing dari segi prosedur tindakan,” katanya.

Rahmad berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati sekumpulan pelajar terhadap mangsa yang didakwa memotong barisan semasa beratur untuk mengambil makanan.

Tambah beliau, lapan pelajar terbabit sebelum ini telah direman bagi membantu siasatan sebelum kolej mengambil keputusan mengenakan tindakan penggantungan sementara.

“Setakat ini tiada tindakan buang sekolah dikenakan terhadap pelajar terlibat. Bagaimanapun, terdapat pelajar yang memohon pertukaran institusi dan perkara itu tertakluk kepada kelulusan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), KPM,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pelajar kolej berkenaan dipercayai dipukul oleh sekumpulan pelajar, namun mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa pada awalnya.

Kejadian hanya terbongkar selepas bapa mangsa mengesyaki perubahan tingkah laku anaknya sebelum mendesak mangsa menceritakan perkara sebenar sebelum satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

🔗 Source: https://thereporter.my/lapan-pelajar-kolej-vokasional-ditahan-disyaki-pukul-rakan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *