10 kali khatam Al-Quran, Ainin Saheela raih anugerah pelajar cemerlang

Pelajar Syukbah Qiraat, Ainin Saheela Binti Anuar, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Kategori Pelajar Perempuan) Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) susulan kecemerlangan luar biasa dalam hafazan al-Quran, akademik serta penglibatan aktif dalam kepimpinan dan kokurikulum.

Ainin Saheela mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan hafazan Al-Quran dalam tempoh hanya tujuh bulan dengan 10 kali khatam, sekali gus menyerlahkan kekuatan daya hafazan, disiplin tinggi dan istiqamah apabila konsisten mengulang sekurang-kurangnya lapan juzuk sehari sebagai amalan murajaah.

Dalam aspek akademik, Ainin mencatat CGPA semasa 3.99, manakala GPA Hafazan Syafawi dan Tahriri kekal 4.00 secara konsisten dari semester satu hingga semester lima, membuktikan keupayaan mengimbangi tuntutan hafazan dan akademik secara seiring dan berkesan.

Ainin Saheela merupakan lepasan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 8A 2B. Dalam bidang kokurikulum, beliau meraih Johan Hafazan peringkat Wilayah Persekutuan secara berturut-turut pada 2024 dan 2025, layak ke peringkat kebangsaan serta mewakili Darul Quran dalam pelbagai pertandingan termasuk MTHQIPT di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Ithbat Selangor.

Dari segi kepimpinan,dia memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Bendahari Kelab Maktabah dan Bendahari Sahabat OKUMP, selain aktif dalam unit akademik dan media. Dia turut berjaya menamatkan Perujian Syahadah dan dianugerahkan Sijil Syahadah peringkat Darul Quran.

Darul Quran menerusi hantaran di Facebook berharap pencapaian Ainin Saheela dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada seluruh pelajar institusi berkenaan.

“Pencapaian cemerlang Ainin Saheela Binti Anuar ini diharapkan dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada seluruh pelajar Darul Quran, khususnya dalam membuktikan bahawa istiqamah, kesungguhan dan keikhlasan mampu melahirkan huffazah berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.

🔗 Source: https://thereporter.my/10-kali-khatam-al-quran-ainin-saheela-raih-anugerah-pelajar-cemerlang/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *