Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi di semua daerah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan bahawa Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor kerana ia berpotensi menimbulkan pencemaran alam sekitar serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan Istana Selangor, pendirian tersebut selari dengan kenyataan Y.A.B. Perdana Menteri pada 23 Januari lalu yang menyarankan Kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor. Isu berkenaan turut dibincangkan ketika Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari 2026.

Berikutan pertemuan itu, Perdana Menteri dalam ucapannya pada 9 Februari menyatakan ketidaksetujuan terhadap penternakan babi di kawasan yang dibantah penduduk tempatan serta berpotensi mencetuskan kontroversi. Malah, beliau turut menyarankan agar projek berkenaan tidak diteruskan sekiranya tiada lokasi yang sesuai di Selangor.

Sultan Sharafuddin menyambut baik pendirian tersebut dan bertitah bahawa penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan. Baginda mengambil contoh cadangan projek di Bukit Tagar yang terletak di kawasan penempatan orang Melayu dan Felda, yang pastinya menerima bantahan penduduk setempat.

Selain itu, Baginda bertitah penternakan babi juga berisiko mencemarkan kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Walaupun pencemaran boleh dikurangkan menerusi kaedah penternakan moden, ia menjelaskan kos pelaksanaannya adalah tinggi dan tidak realistik untuk ditanggung semata-mata bagi memenuhi keperluan daging babi di Selangor.

“Tambahan pula, tiada jaminan kaedah tersebut benar-benar mampu mengelakkan pencemaran air di kawasan sensitif,” titah Baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa penternakan babi, sama ada berskala besar atau kecil, tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor. Kaedah ini disifatkan sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampu menamatkan isu berlarutan selain mengoptimumkan penggunaan tanah negeri.

Baginda menegaskan agar isu penternakan babi ini dimuktamadkan sepenuhnya kerana ia menimbulkan keresahan pelbagai pihak serta boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. Semua pihak turut diseru menghormati titah Baginda dan bersama-sama memelihara perpaduan serta keharmonian di negeri ini.

🔗 Source: https://thereporter.my/sultan-selangor-tidak-berkenan-penternakan-babi-di-semua-daerah/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *