JOHOR BAHRU 9 Feb – Polis mengesahkan pemandu e-hailing yang didakwa mencabul kehormatan seorang penumpang wanita di sini baru-baru ini merupakan seorang penjawat awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, suspek berusia 26 tahun itu sebelum ini direman bagi membantu siasatan namun telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.
Menurut beliau, kes berkenaan masih dalam penelitian pihak perundangan sebelum sebarang keputusan pendakwaan dibuat.
“Suspek adalah seorang penjawat awam dan kertas siasatan perlu dirujuk ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dikemukakan ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari ini sementara menunggu keputusan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu e-hailing ditahan di sekitar bandar raya ini pada 4 Februari lalu selepas disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.
Penahanan dibuat susulan laporan polis oleh mangsa pada hari sama, selepas video kejadian serta latar belakang pekerjaan suspek tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mangsa dilaporkan merupakan seorang wanita warga Vietnam.
Suspek sebelum ini direman selama tiga hari bermula 5 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan serangan atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seseorang.
Kes berkenaan terus menjadi perhatian awam, khususnya melibatkan aspek keselamatan penumpang serta integriti penjawat awam.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14067

Leave a Reply