PUTRAJAYA 10 Feb – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad kekal menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kira-kira 12 tahun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nordin Hassan selepas sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Mohd Isa, 77, daripada semua pertuduhan.
Pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta. Mahkamah turut memerintahkan tambahan 18 tahun penjara sekiranya beliau gagal membayar denda berkenaan.
Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan kemudiannya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan, sekali gus mendorong pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Panel hakim telah mendengar rayuan tersebut pada Khamis lalu sebelum menetapkan hari ini bagi keputusan.
Dalam pertuduhan, Mohd Isa didakwa menerima RM3.09 juta dalam bentuk suapan melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Suapan itu didakwa sebagai ganjaran bagi memudahkan kelulusan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd untuk pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14077

Leave a Reply